2 tahun yang lalu aku dan suamiku mengerjakan Umrah bersama kumpulan Al-Zuhdi Traveller atas pakej menyambut Ramadhan di Mekah. Memang tiada persediaan untuk kami ke sana kerana 2 minggu sebelum pergi baru kami ditawarkan untuk ke sana. Pada asalnya suamiku saja yang sepatutnya pergi sebab aku punya masalah anak takde sapa nak jaga. Tapi dengan izin Allah, adik aku ateh bersetuju untuk menjaga mereka selama 2 minggu. Mengenangkan dia yang tengah tunggu bulan, aku pun bersetuju. Tapi Allah maha mengetahui dan maha kaya.. Akhirnya sepanjang aku di Mekah, mak ngan abah juga yang menjaga mereka bertiga sebab ateh telah ditahan di ward kerana kekurangan air ketuban. Menarik perjalanan cerita kami.
Sepanjang aku disana, tipulah aku kata aku tak rindu dengan anak aku tu terutamya Umar Zuhdi yang baru nak masuk 3 tahun tapi aku yakin abang dia yang berdua tu mampu menjaga adik dia. Memang betul apa yang orang kata, serahkan semuanya pada Allah.. Allah akan jaga mereka. Alhamdulillah Harraz ngan Abdul Salam memang abang yang bertanggungjawap.
Apa yang aku boleh gambarkan suasana berpuasa di sana amat berbeza walaupun tidak pernah sekali pun aku berkesempatan untuk berbuka di Masjidilharam kerana rakan menemani rakan sebilik ku yang tidak boleh menunaikan puasanya sepanjang beliau di sana. Jadi aku hanya berbuka puasa di hotel tempat kami menginap tapi sesudah maghrib kami bergegas ke Masjidilharam yang agak jauh dari hotel kami. Cuma di sana, masa antara azan maghrib dan isyak lama. Apa yang aku dengar sebab dia nak bagi mereka yang berbuka di masjid yang hanya memakan kurma dan air zam-zam untuk mendapatkan makanan yang lebih berat setelah selesai menunaikan solat maghrib. Persedian untuk menunaikan solat terawih yang agak panjang nanti.
Sifat dermawan amat terserlah bila kita di sana. Menjelangnya waktu berbuka, banyak orang akan mendermakan makanan untuk berbuka puasa seperti kurma,susu masam dan juga roti. Cuma yang tak sedap mata memandang ialah mereka berebut-rebut untuk mendapatkan makanan yang didermakan. Tapi bagi kami pulak, siap kena panggil untuk mereka menderma sebab mungkin mereka nampak kami ni orang luar agaknya. Balik dari terawih pun ada je yang nak mereka berikan kepada kita.. Indah rasanya kehidupan di sana. Rindunya...